Teori ABCD..~


Hidup ini mudah.Kehidupan ini boleh ditafsirkan melalui teori A.B.C.D.Hidup ini bermula dengan “A”=Allah diikuti huruf “B”=Birth (kelahiran) dan berakhir dengan huruf “D”=Death (kematian).Tetapi diantara huruf B dan D,ditengahnya masih ada huruf “C”=Choice (pilihan).
Hidup selalu menawarkan pilihan.Kita berhak memilih.Kita merupakan watak utama dalam drama yang terbesar dalam diri kita; Drama kehidupan.Walaupun kehidupan kita tidak seperti yang digambarkan dalam drama orang lain,kita mempunyai hak memiliki drama kita sendiri.



Tersenyum atau marah?
Memaafkan atau membalas?
Mencintai atau membenci?
Bersyukur atau mengeluh?
Tidak ada pilihan tanpa sebarang akibat dan konsekuensi.Namun DIA selalu memberi yang terbaik.
Kadang kita belajar,kadang kita mengajar.Setiap daripada kita adalah pelajar sekaligus guru.Pandai-pandailah kita memetik hikmah dari setiap kejadian.Tidak ada kata terlambat untuk berubah kearah yang lebih positif.Masa lalu adalah masa pendewasaan.Penghijrahan kearah lebih positif adalah kerana keputusan diri kita sendiri bukan dipengaruhi oleh orang lain.Allah member hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
“Barangsiapa diberi hikmah,sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak.Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal sihat” [2:269]

Sebelum Maut Menjemputku..~





Dengan kalam bismillah,saya sampaikan tinta ini untuk hati yang tengah gundah dan gulana. Semoga Allah meredhai dan menjadikan saya juga anda sebagai orang yang ikhlas dalam beramal.Semoga dengan hitam putih ini adalah saksi agar saya dapat menatap wajah-Nya kelak di Syurga,sebuah tempat penuh cinta dan rahmat.Sekiranya ini menjadi titipan saya yang terakhir,moga apa yang saya titipkan ini dapat menjadi bekal untuk saya.Jari-jemari saya ligat menari-nari di keyboard tidak bermakna apa yang saya nukilkan adalah keburukan semata.Tapi saya sekadar cuba mengajak semua bermuhasabah lantas menegur diri sendiri yang turut alpa melayan kerenah duniawi.Sebelum kita belayar lebih jauh,betulkan pemikiran cetek kita itu.Semua yang tertulis hanyalah garapan semata tapi penuh berisi.Ambillah hikmah disebaliknya.Bukan beerti saya sempurna.Tidak.Tapi saya cuba mengejar kesempurnaan itu.Ayuhlah bersama saya mengejarnya ^_^

Sahabat, begitu sering kekacauan jiwa mengusarkan hati.Maka hati itu gundah.Gelisah pun secara perlahan mendominasi hingga fikiran jernih mulai kusut.Telah tiba musim jenuh yang memalaskan raga untuk peragakan amal soleh, mendiamkan hati agar tak terpaut dengan Allah dan membisukan lisan agar tak semburatkan sejuta kebaikan.

Bilakah datang musim semi yang menghadiahkan pucuk-pucuk keimanan bagi dahan jiwa?
Bilakah bertandang musim hujan yang menunaskan rumput-rumput ketakwaan?

 
Tenanglah sahabat. Kepadamu, dari sudut beranda kalbu,saya bisikkan untaian kata bahawa hanya kerana Allahlah saya mencintai kalian.Tak pernah jemu saya nukilkan tinta ini untuk diriku dan untuk kalian.

Tak perlu banyak kata untuk membuatmu menjauhi tulisan ini dan tak perlu pula sajak bintang berirama indah untuk membuatmu punah dari gundah. Tapi pada coretan ini,saya berharap ada banyak rasa yang akan membuatmu jadi permataNya. Maka tetaplah disini. Buka mata dan hati. Tersenyumlah,kerana senyummu adalah begitu indah.Menyejukkan hati =)

**************
Sahabat,
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah S.A.W bersabda,

“Salah satu di antara tujuh golongan orang yang akan diberi naungan Allah pada hari kiamat adalah; seorang yang mengingat Allah lantas kedua matanya pun mengalirkan air mata.” 

Tapi…
Tapi…
Bagaimana mungkin hati boleh tersentuh dan mata membulirkan air yang menandakan sejuknya keimanan sementara saat ini hati kita tengah mati………..

Sungguh kita adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan kemaksiatan yang kita lakukan.Mata kita ini bukan menangis kerana takut pada Allah, namun kerana sinetron cinta picisan. Mata ini terbangun pula di gelita mala namun bukan untuk bermunajat pada-Nya hanyalah sekadar untuk menelefon si “dia”,menonton acara-acara murahan..

Suara serak kita ini bukanlah kerana bacaan tilawah Al-Quran atau mengulang-ulang hafalannya namun kerana bersenandung lagu-lagu cinta.Hingga bait-bait lirik lagu lebih kita kenal dibanding bacaan indah Al-Quran.
Bukan pula kata-kata yang baik dan enak terdengar namun kata-kata yang penuh dusta dan menusuklah yang terlontar.

Kaki kita pun, jarang kita dapati langkahnya untuk menuju majlis zikir,majlis ilmu, beribadah lima waktu di masjid, malahan derap langkah bertapak ke konsert muzik,mall dan tempat shopping lainnya.
Ya Robbi, sungguh kami termasuk orang yang rugi. Ampunilah diri kami. Ampunilah kami.
Takutlah kita dengan azab Allahu Ta’ala.Cubalah renungi tentang maut. Saat sakaratul maut, terlihat demikian mudahnya arwah orang mukmin keluar dari raganya, akan tetapi bukan bererti bebas dari rasa sakit! Tidak, sekali-kali tidak.

Adakah keraguan pada diri kita bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah orang mukmin yang paling sempurna keimanannya? Akan tetapi kemulian dan kesempurnaan iman baginda tidak dapat melindungi baginda dari dahsyatnya sakaratul maut.

Oleh itu, tatkala baginda menghadapi sakaratul maut, baginda begitu gundah.Baginda berusaha menenangkan dirinya dengan mengusap wajahnya dengan tangan yang telah dicelupkan ke dalam bekas berisi air. Beliau mengusap wajahnya berkali-kali,sambil bersabda: 

"Tiada Tuhan Yang berhak disembah selain Allah.Sesungguhnya kematian itu disertai oleh rasa pedih."

Pada suatu hari sahabat Umar bin Al Khatthab RA bertanya kepada Ka'ab Al Ahbaar:

"Wahai Ka'ab, ceritakan kepada kita tentang kematian!

Ka'ab pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Gambaran sakitnya kematian adalah bagaikan sebatang dahan yang banyak berduri tajam, tersangkut di kerongkong anda, sehingga setiap duri menancap di setiap sarafnya. Selanjutnya dahan itu sekonyong-konyong ditarik dengan sekuat tenaga oleh seorang yang gagah perkasa. Bayangkanlah, apa yang akan turut tercabut bersama dahan itu dan apa yang akan tersisa!"

Syaddaad bin Al Aus berkata: "Kematian adalah pengalaman yang paling menakutkan bagi seorang mukmin, baik di dunia ataupun di akhirat. Kematian itu lebih menyakitkan dibanding anda digergaji, atau dipotong dengan gunting, atau direbus dalam periuk. Andai ada seseorang yang telah mati diizinkan untuk menceritakan tentang apa yang ia rasakan pada saat menghadapi kematian, nescaya mereka tidak akan pernah boleh menikmati kehidupan dan juga tidak akan pernah tidur nyenyak."

Wallahualam..




Coretan TintaMusafir..~



Seringkali terdetik dalam benak fikiran teman-teman kenapa saya tidak menggunakan nama saya sendiri di blog ini?? Kenapa saya menggunakan Bukan Nama Sebenar sebagai pengenalan saya?? 

Bukan Nama Sebenar dan TintaMusafir adalah orang yang sama.Siapa pula TintaMusafir?? 

Nama TintaMusafir digunakan dilaman sosial Facebook dan Twiter. 

Persoalan demi persoalan mulai menerjah saya semenjak blog ini saya wujudkan.Seperti kawan-kawan blogger yang lain,mereka memilih untuk meletakkan nama mereka di blog supaya mudah dikenali.Dengan cara itu,ramai followers baru akan berjaya dikumpul.Saya juga boleh bertindak sedemikian tapi saya memilih untuk mempunyai personaliti bahagi dua.Bingkisan pada kali ini lebih menjurus untuk menjelaskan segala yang kabur.Saya bukanlah cuba untuk merahsiakan identiti saya sendiri.Siapa yang tidak mahu dikenali kan?? Saya juga inginkan nama saya meniti di bibir teman-teman.Setiap bait-bait kata yang saya sampaikan luhur dari hati nurani saya sendiri.

Tapi itu bukanlah pilihan saya.Saya suka dikenali sebagai seorang yang ‘low profile’.Saya juga menggunakan penulisan sebagai altenatif untuk saya mengungkap kalam yang tidak terucap oleh lisan.

Tujuan saya mudah.Ingat lagi personaliti bahagi dua?? Itulah yang saya cuba garapkan.Saya mahu kawan-kawan berasa berbangga apabila mempunyai seorang sahabat blogger yang menitipkan kata-kata nasihat mahupun teladan dan terdetik dihati mereka untuk berubah kearah yang positif.Saya inginkan TintaMusafir ini dipandang tinggi dan boleh dijadikan ‘role-model’ dalam meniti arus-arus kehidupan mendatang.

Dalam aspek yang lain,tidak perlulah untuk mengenali diri saya yang sebenar.Saya masih belajar dan terus belajar.Mungkin apabila teman-teman diluar tahu siapa gerangan pemilik blog ini,pelbagai tanda tanya akan menghuni pemikiran.Kenapa? Kerana saya lebih teruk.Saya tidak layak dijadikan ‘role-model’.Itulah hasrat saya.

Saya ingin mengangkat TintaMusafir sebagai ikon yang hebat dimata teman-teman tanpa perlu mengenali insan disebalik nama itu.Celoteh yang ringkas ini sudah memungkinkan segala kekusutan terurai satu demi satu.Namun bagi mereka yang sudah mengetahui diri saya yang sebenar di sebalik TintaMusafir,teruslah sokongan kalian kepada ‘dia’.

Meskipun ‘dia’ hanya wujud di alam maya,sematkan pesan dan nasihat yang diberikan.Lalu kongsikanlah ilmu itu kepada yang lain.Moga kita sama-sama beroleh saham di Akhirat kelak.Insya Allah…Ikhlas dari saya –TintaMusafir- 

Pelayaran Di Dunia..



Dunia ini adalah ibarat sebuah kapal layar yang sedang menuju ke sebuah pelabuhan yang aman, iaitu AKHIRAT.Kapal yang sedang dilayari ini tidak diketahui datangnya dari alam mana.
Ditengah-tengah pelayaran, kapal ini berhenti di sebuah pulau bernama "DUNIA".

Di sini penumpang-penumpangnya berehat sementara bagi mencukupkan sebarang keperluan kecil dalam pelayaran seterusnya ke pelabuhan bahagia.
Rumput-rumput di pulau persinggahan ini terlalu indah, pantainya putih bersih.

Kapten kapal mengizinkan para penumpangnya turun sebentar untuk beristirehat sambil melihat-lihat. Beliau berpesan, jangan ada daripada mereka yang lalai apabila terdengar isyarat kapal akan meneruskan pelayarannya.

Sebahagiannya patuh kepada peringatan kapten, tetapi sebahagiannya lalai dan terleka dan mendapati tempatnya dikapal itu telah diduduki orang. Sebahagian besarnya pula terus leka dan lalai bahawa pelayarannya masih jauh. Dia terpengaruh kerana terpesona dengan keindahan pulau yang disinggahinya itu, seolah-olah tiada tempat lain lagi seindah itu.

Berkali-kali loceng kapal dibunyikan memanggil penumpang naik ke kapal, tetapi dia membuat endah tak endah sahaja dengan panggilan itu. Akhirnya kapal membongkar sauhnya dan belayar menuju alam aman dan bahagia, sedangkan yang lain tinggal di pulau itu.

Apabila mereka telah berjalan dari pangkal ke hujung pulau itu, barulah disedari bahawa pulau itu bukan tempat sebenar yang dituju. Disitu dia dikeliling air, dia menyesal, tetapi penyesalan itu tidak berguna lagi. 

Kapal telah semakin jauh meninggalkannya. Dia menangis dan meraung meminta diambil semula.
Orang-orang tiada lagi yang jadi kawan, dan kapal lain tiada lagi yang datang. Sesal bertimpa-timpa, hari bertambah gelap, malam menyerkup suasana. 

Maka berkeliaranlah ular,kalajengking,lipan dan binatang-binatang berbisa keluar dari sarangnya hendak menerkam dan menggigit. Makin lama makin bertambah banyak mengancam.

Sedarlah kita,dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan.Telah banyak kapal karam didalamnya.Andai muatan kita adalah IMAN dan layarnya TAKWA, nescaya kita akan selamat dari tersesat dilautan hidup ini.
Blogger Widgets