Air Mata Cinta~ (part 3)



Malam itu, ibu ada menelefonku. Dia tanya sama ada aku balik atau tidak pada cuti tahun baru cina nanti. Aku kata, kalau ikutkan perancanganku memang nak balik. Tapi tak tahulah agaknya-agaknya ada hal pulak nanti. “Kenapa?” Soalku pada ibu. “Ada orang nak datang tengok angah.” Jawapan ringkas ibu itu telah cukup untuk membuatkan aku terkejut besar. Aku memang tak sangka. Jantung ku berdegup kencang. “Angah belum bersedia lagi untuk berumah tangga bu.”. aku masih mahu bebas dari ikatan itu. “Ibu tak paksa angah untuk terima, tapi baliklah dulu. Kita tengok, lepas itu angah yang buat keputusannya nanti. Ibu dan abah terima saja.” Pujuk ibu. Terasa sedikit kekuatan dengan jaminan yang diberikan ibu itu.

Kalau boleh. Aku ingin menentukan sendiri pasangan hidupku tanpa sebarang paksaan dari kedua orang tuaku. Semenjak dari pengkhabaran ibu itu. Aku begitu berdebar untuk menunggu cuti tahun baru cina yang hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Aku lebih banyak termenung memikirkan hal itu. Setiap kali aku balik dari mengajar ke rumah sewa aku di Kampung Kota Kubang Labu. Aku lebih suka bersendirian dalam bilik. Nadia merasa pelik dengan perubahan mendadak ku itu. Aku menceritakan sebabnya kepada Nadia.

“Bersabarlah. Apa nak dirisaukan, ibu engkau dah beri jaminan bahawa dia tak memaksa. Jadi pilihannya di tangan engkau sendiri.” Nasihat Nadia. “aku risau sebab aku takut untuk mengingkari harapan mereka.”
Mulai hari itu juga. Aku memohon petunjuk Allah dalam menentukan dan memberikan kekuatan kepadaku.

Ya Allah, sekiranya Engkau telah menentukan jodohku, maka aku harap Engkau mengurniakan aku seorang suami yang soleh. Mampu membimbing aku dan bakal zuriat yang akan lahir dari rahimku ini.
Ya Allah, bantulah aku dalam menentukan perkara ini. Janganlah Engkau biarkan diriku sendiri menentukan perjalanan hidupku walau hanya sekelip mata. Aku memohon dariMu kebaikan yang berpanjangan dan bahagia yang berkekalan.

Kepulanganku ke rumah di Gombak disambut gembira dengan seisi keluarga. Semuanya berkumpul, tambah-tambah lagi kerana cuti tahun baru cina. Lagipun mereka semua ingin tahu siapakah gerangan yang mahu datang itu. Abang long, abang chik semua balik. Kakak ipar dan anak buah juga tidak ketinggalan untuk turut serta.

“Tak lama lagi, Man dapat abang iparlah. Ibu kan!” Itu suara adikku si Rahman. “Ish kamu ni Man. Tak boleh ke kalau tak usik angah tu.” Ibu cuba membelaku. Aku hanya melayan perasaan. Perasaanku berbelah bagi. Entah apa keputusan yang akan kuberikan kepada abah dan ibu nanti. “Ibu tak memaksa angah untuk menerimanya. Angah yang akan menentukannya sendiri.” Ibu mengulangi jaminannya padaku sewaktu dia melihatku murung.

“Along terima siapa sahaja yang menjadi pilihan angah untuk jadi suami. Suami angah adalah adik ipar along juga.” Kata along sambil menepuk-nepuk bahuku. “Acik pun macam tu juga. Kami nak tengok angah bahagia. Itu sudah memadai bagi kami.” Sokong Acik pula. Sekarang aku benar-benar yakin bahawa aku memiliki sepenuh kuasa untuk menentukannya. Semua keluarga menyokong aku. Sekurang-kurangnya ia membuatkan aku berasa lega.

Semua ahli keluargaku sibuk untuk menyediakan jamuan keluarga sempena kedatangan tetamu yang begitu mendebarkan hatiku itu. Mengikut kata ibu, mereka akan datang lepas maghrib dan akan makan malam bersama-sama keluargaku. Apabila masuk waktu maghrib, semua ahli keluargaku berjemaah di rumah. Abah yang jadi imam dan along yang jadi bilal. Cuma aku saja yang terkecuali sebab uzur. Jadi kenalah aku tengok-tengokkan Ain, anak saudaraku yang baru berumur 9 bulan. Makin tak keruan aje rasanya jiwa ini. Tapi bila memikirkan yang semua ahli keluarga menyebelahiku. Aku rasa bersemangat. Aku begitu gembira bila berpeluang untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluargaku ini. Aku sangat bangga mempunyai keluarga yang sebahagia ini. Dan doaku semoga keluarga yang akan kubina nanti sekurang-kurangnya akan menjadi seperti keluargaku ini.

Sewaktu, azan Isyak berkumandang dari Masjid Gombak kedengaran ada orang memberi salam di luar rumah. Aku bangkit bergegas ke bilikku. Aku malu, takut dan segan. Semua jenis perasaan mula berkumpul di hati ini. Badanku terasa seram sejuk dan panas serta-merta. Aku tak tahu apa yang mereka kat luar tu bincangkan. Cuma terdengar suara hilai ketawa sahaja. Selang beberapa minit. Aku terdengar suara orang bertakbir.

“Seperti suara yang pernah kudengar.” Bisik hatiku sendirian. Kemudian, diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah yang dialunkan mengikut bacaan Saad al-Ghamidi. “Ya Allah! Siapakah dia?” Hatiku semakin kuat tertanya-tanya siapakah sebenarnya empunya suara. Seperti suatu suara yang selalu kudengar. Seperti suara yang sering menasihatiku itu.

“Ya Allah. Aku bermohon kepadaMu dengan kebaikan. Kurniakanlah aku suatu kurniaan di sisiMu yang boleh membahagiakan seluruh kehidupanku. Tetapkanlah kasih sayang di hati ini agar tidak goyah dalam mengharungi arus deras ini.” “Ya Allah! Kiranya dia adalah utusan dan ketentuanMu buatku. Aku harap Engkau permudahkanlah dan bukakanlah hatiku ini untuk menerimanya dengan ikhlas. Jika ia ditakdirkan bukan milikku, maka jauhkanlah hatiku darinya. Hilangkanlah bayangan wajahnya dari tatapan dan pandanganku agar hatiku bisa tabah menerimanya.” “Ya Allah! Sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu buatku. Amin….”

Ketukan pintu bilikku membuatkan aku terkejut. Ibu masuk merapatiku.
“Marilah keluar! Mereka mahu kenal angah.” Bisik ibu perlahan. Aku merenung ibu dengan pandangan yang berkaca-kaca. Ibu mengangguk lembut, terseyum memandangku sambil jari telunjuknya mengesat air mataku yang mengalir perlahan. “Sudahlah. Ibu ada bersama angah. Usah takut.” Pujuk ibu lagi. Aku bangun perlahan seperti tidak bermaya. Mengenakan jubah yang baru siap aku tempah dan telekong pink. Inilah kali pertama aku mengenakan jubah. Aku lap mukaku dengan tisu untuk menghilangkan sisa-sisa air mata.

aku memandang ibu. Ibu mengangguk dan memimpin tanganku keluar untuk menemui tetamu yang mungkin istimewa. Aku menundukkan mukaku. Tidak berani untuk melihat siapakah tetamu itu. Ibu memimpin aku ke ruang tempat kami sentiasa solat. Rupa-rupanya mereka semua menunggu aku di situ. Aku duduk bersimpuh di sisi ibu dan diapit oleh kak long serta kak chik. Tetamu itu duduk bersetentangan denganku. Pada agakkanku, dia sedang memerhatikan gerak-geriku. Aku tidak berani untuk mengangkat mukaku untuk memandangnya.

“Pak cik! Izinkan saya untuk bercakap dengan Myra sekejap.” Tetamu itu memohon keizinan dari abah. “Silakan.” Keizinan yang diberikan abah itu membuatkan aku berdebar-debar. Tetamu itu merapatiku dan kini dia betul-betul bersila di hadapanku. Aku dapat mendengar bunyi nafasnya dan dapat menciumi bau minyak athar yang dipakainya.

“Ya Allah! Tenangkanlah hatiku dan tolonglah aku di saat ini. Ya Allah. Aku benar-benar bermohon kepadamu.” Doa hatiku. “Ustazah myra! Jika ini dinamakan takdir, maka telah tiba masanya ustazah mengenali saya.” Betulkah suara itu yang aku dengar. Aku belum mampu untuk memandang wajahnya. Tapi suara itu membuatkan hatiku bergetar.
“Dulu saya bukanlah abang apatah lagi suami ustazah, tapi sekarang saya datang untuk mengambil ustazah sebagai suri hidup saya.”
“Ya Allah! Benarkah seperti apa yang aku dengar sekarang ini? Ini benar-benar suara dia. Aku yakin, memang inilah suara dia.” Bisik hatiku.

‘Sudikah ustazah membukakan pintu hati ustazah untuk menerima cinta dan kasih sayang saya kerana Allah?” Soalnya perlahan. Perlahan-lahan aku mendongak mukaku dan pandangan kami bertembung. “Haikal!” Bisikku perlahan. Dia tersenyum memandangku. Air mataku mula mengalir. “Ya Allah! Benarlah janjimu terhadapku. Aku menerima kurniaanmu ini dengan penuh redhaku.”

aku berpaling pada ibu. Ibu memandangku dengan penuh kasih sayang. Aku memeluknya erat. “Ibu, angah dah bersedia untuk jadi seorang isteri bu!” Bisikku perlahan. Ibu memelukku erat tanda akur dengan kehendak dan keputusanku.

No comments:

Blogger Widgets