Air Mata Cinta~ (part 1)



"Semenjak aku bekerja sebagai guru ni. Aku cukup risau mendengar khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tu. Jawatan ni pun hanya sebagai guru sandaran sahaja setelah aku beberapa bulan menjadi penganggur terhormat dengan memegang ijazah dari UIA. Itu pun setelah aku dah mula jenuh mendengar leteran abah dan rungut ibu kerana mereka kata aku ni memilih kerja sangat.

Dah tak tahan rasanya, nasib baiklah aku ada kawan lama yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah yang membuka tawaran pengambilan guru sandaran. Jadi, peluang untuk mengelakkan diri dari terus menjadi bahan rungutan ini tidak kulepaskan begitu sahaja.
Sememangnya aku tahu bahawa diri aku ni tidak layak untuk menjadi pendidik, tapi apa boleh buat.

Sudah keadaan yang memaksa aku untuk melupakan ketidakbolehanku itu. Borang permohonan aku isi ala kadar saja, tidak mengharapkan sangat. Tapi bila dah rezeki itu telah ditentukan milik kita, dan ia memang benar akan menjadi milik kita tanpa kita sangka sekalipun. Aku menerima surat jawapan dengan perasaan berbelah bagi juga sebab aku takut nanti aku tak mampu untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan atas bahuku ini. Namun, abah dan ibu mula tersenyum mendapat berita itu kerana mereka tahu anak gadis mereka ini memang boleh memikul amanah itu.

“Ah, mereka tidak tahu keadaan aku sebenarnya!” Bisik hati kecilku. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya surat jawapan itu akan menyelamatkan aku untuk seketika. Namun aku sendiri pun tidak tahu setakat mana ia mampu menyelamatkan aku. Aku ada mendengar desas–desus dari adik-adik yang mengatakan bahawa ada orang telah datang merisik aku. Terkejut gila aku dibuatnya. Aku masih belum memikirkan lagi untuk menjadi isteri, suri rumah tangga apatah lagi ibu. Lagipun aku masih belum bersedia untuk memasuki alam rumah tangga. Harap-harap, tawaran guru ini akan membantu menyelamatkan aku yang dalam keadaan genting dan kritikal ini.

Sekurang-kurangnya aku ada alasan untuk menolak pinangan sesiapa sahaja dengan mengatakan bahawa aku ingin menumpukan perhatian pada kerjaku terlebih dahulu untuk mencari pengalaman. Lagipun aku tahu perangai abah dan ibu yang tidak pernah memaksa aku untuk memenuhi kehendak mereka. Cuma harapan mereka itu yang akan membuatkan aku jadi serba salah untuk tidak memenuhinya.

“Bila angah nak lapor diri?” Tanya abah sewaktu kami sedang makan malam. Makan malam bersama-sama merupakan perkara penting dalam keluargaku. Sebab itulah hubungan kami bertambah mesra.
“Minggu depan abah.”. Aku telah diarahkan untuk melaporkan diri di Sekolah Menengah Agama di Kelantan. Itulah sebuah negeri yang tidak pernah kujejaki sepanjang hidupku hingga kini. Namun aku akan memecahkan rekod itu minggu depan.

“Angah nak abah hantarkan ke?” Memang aku dah jangka abah akan menawarkan pertolongannya itu. Abah tidak pernah membiarkan aku kesusahan keseorangan tanpa bantuannya sampailah aku dah besar panjang dan keluar universiti begini. Abah seorang yang cukup penyayang pada kami anak-anaknya. Dia selalu memanjakan kami dalam lingkungan batas-batas tertentu.

“Tak payahlah bah. Angah pergi naik bas saja dengan kawan. Kawan angah pun kena mengajar kat situ juga.” Jelas ku. Aku tak nak menyusahkan abah. Jauh juga perjalanan dari Selayang ni ke sana. Kata orang, dalam tujuh atau lapan jam juga. Aku dah banyak menyusahkan abah. Sekarang aku mahu berdikari sendiri dan aku mahu tunjuk dan buktikan pada abah yang anak gadisnya ini mampu untuk melakukan sesuatu dengan usaha sendiri.

Banyak perkara yang terpaksa aku fikirkan. Terutamanya tentang keadaan tempat mengajarku nanti. Negeri yang tidak pernah kujejaki bakal menyambut kedatanganku sebagai musafir yang tidak tahu bila akan kembali ke tempat asalnya. Namun kupercaya bahawa ia pasti bangga menyambutku sebagai tetamunya.

“Jaga diri elok-elok kat tempat orang tu. Nanti jangan lupa selalu hubungi ibu dan abah kat sini.” Pesan ibu sewaktu aku nak bertolak ke Kelantan. Keluarga menghantar aku ke Hentian Putra. “Jangan lupa bawa balik ‘awe’ Kelantan tau!” Usik adik lelakiku. Adik aku seorang ni suka sangat menyakat aku. Kalau cakap dengannya, ada saja hal-hal yang membuatkan kami tidak bersependapat. Namun aku tahu, sejauh mana kasih sayang adikku itu terhadap aku.

“Jaga perangai elok-elok. Tunjukkan budi pekerti yang mulia, barulah semua orang sayang pada kita walau di mana sahaja kita berada.” Itu pesan terakhir abah sebelum aku melangkah menaiki bas. Aku cium tangan abah dan kupeluk ibu. Semoga berkat doa restu mereka. Aku bisa menghadapi dan mendepangi arus kehidupan ini. Kasih dan sayang mu abah dan ibu akan kubawa ke mana-mana sahaja selama mana kaki ini terus melangkah.

“Aah.”. aku menyeka air mata sewaktu melihat lambaian abah, ibu dan adik-adik tatkala bas yang kunaiki mula meninggalkan Perhentian Putra itu. Sedih juga aku untuk berpisah dengan mereka. Keluarga yang cukup buatkan aku bahagia dengan kasih sayang yang tercurah.

“Kita nak tinggal kat mana nanti?” Tanyaku pada Nadia, kawan yang senasib denganku. “Tak payah risau. Pak long aku dah janji nak uruskannya untuk kita.” Nasib baik juga si Nadia tu ada bapa saudara kat sana. Kalau tak, macam manalah nasib kami nanti.

“Pagi nanti, dia yang akan datang jemput kita kat stesyen bas.” Sambung Nadia lagi. Lega hatiku bila mendengarnya. Risau juga aku kalau tak ada orang yang ambil nanti sebab kami akan sampai di Kota Bharu sebelum subuh. Pagi-pagi begitu kat manalah kami nak gagau. Aku pun tak terfikir akan dihantar mengajar di Kelantan tu.

Bas yang kami naiki tiba di stesyen bas Kota Bharu sewaktu azan subuh berkumandang dari menara Masjid Muhammadi, sebuah masjid yang tertua di negeri itu. Kedatangan ku ini disambut dengan laungan kalimah suci membesarkan Tuhan. “Semoga ia menjadi suatu petanda yang baik buat ku.” Bisik hati kecilku. Bandar ini sudah mula bangkit dari lena manusia. Orang ramai yang baru tiba, berduyun-duyun menuju ke masjid yang berdekatan.

“Jom, pak long aku dah tunggu tu!” Ajakan Nadia itu membuatkan bicara hatiku terputus di tengah jalan. Aku membuntuti langkahnya yang agak kalut sambil memikul sebuah beg pakaian. Aku hanya membawa barang-barang keperluanku sahaja, yang lain nanti boleh usahakan bila dah dapat tempat tinggal tetap. Aku harap, tempat tinggalku nanti tidaklah jauh sangat dari tempat aku mengajar kerana ia akan memudahkan aku untuk berulang-alik.

“Buat sementara waktu ni, Nadia dan Ira tinggal kat rumah pak long dulu. Lagi pun bukanlah jauh sangat sekolah tu dengan rumah pak long.” Pengkhabaran beginilah yang agak memberatkan hatiku. Selagi boleh. Aku tak nak menyusahkan sesiapa. Aku lebih senang mempunyai rumah sendiri dari menumpang rumah orang lain. Apatah lagi tuan rumah yang kita tumpangi itu tidak mempunyai apa-apa pertalian pun dengan kita. Tapi apa boleh buat, terpaksalah aku bersabar buat seketika ini.

Di Kelantan, sekolahnya bermula pada hari Ahad. Cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu. Hari ni baru hari Jumaat, jadi lusa baru aku akan melaporkan diri di sekolah agama tu nanti. Aku pun masih terfikir-fikir tentang subjek apa yang akan ku ajar nanti. Risau juga aku takut-takut nanti subjek yang terlalu sukar untuk aku. Lagi pun aku manalah ada pengalaman menjadi guru ni. Ni boleh dikira bidan terjunlah.

Suasana pagi di Kampung Laut ini cukup tenang. Kampung yang berada di atas tebing Sungai Kelantan ini kedudukannya bersetentangan dengan Bandar Kota Bharu. Kita akan dapat melihat bandar itu dari tebing sungai Kampung Laut ini. Rumah bapa saudara Nadia ini agak besar juga. Boleh dikatakan kebanyakan rumah-rumah di kampung ini bertiang tinggi. Ini bagi mengelakkan daripada ditenggelami air apabila banjir melanda. Boleh dikatakan bapa saudaranya itu dari kalangan orang berada juga.

aku agak kepenatan kerana perjalanan yang memakan masa tujuh jam semalam. Aku tidak sedar bila aku terlena di bilik rumah pak long Nadia tu selepas solat subuh tadi. Aku tersedar dari lena apabila telingaku disapa suara yang sayup-sayup kedengaran. “Baru bangun tuan puteri?” Soal Nadia apabila melihat aku menggeliat kemalasan. Dia baru aje selesai mandi.

“Letih sangat naik bas semalam.” Alasanku. Segan juga aku bila memikirkan anak dara yang bangun tengah hari kat rumah orang ni. Nanti dikata orang anak dara pemalas pulak.

“Suara apa tu?” Soal aku pada Nadia. “Itu suara orang memberi kuliyah pagi Jumaat di masjid. kat sini, setiap hari Jumaat ada kuliyah agama di masjid.” Beritahu dia. Baru aku perasan yang rumah pak long Nadia ni tidaklah jauh sangat jaraknya dari masjid. Masjid utama Kampung Laut yang didirikan sebagai mengganti Masjid Lama Kampung Laut yang telah dipindahkan ke Nilam Puri.

“Kenapa?” Soal Nadia agak kehairanan bila memerhatikan aku sedang meneliti suara penceramah yang kedengaran melalui corong pembesar suara masjid itu. “ Tak ada apa-apa. Saja tanya.” Sebenarnya suara itu telah mengingatkan aku pada seseorang. Orang yang tidak pernah ku tatapi dan tengok wajahnya. Namun aku mengenali suaranya. Suara yang suatu ketika dahulu selalu mengganggu kelancaran dan kelicahan kehidupan kampusku tetapi telah bertukar menjadi satu suara yang selalu kurindu dan ku tunggu-tunggu untuk mendengarnya.


No comments:

Blogger Widgets