Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa
sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di
syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu,
isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk
diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin
mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan
bayang-bayang yang lurus.
Luruskanlah wanita dengan cara yang
ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka
dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba
jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka
dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak
akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal,
disitulah suisnya.
Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan
ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,
hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan
nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka,
walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara
atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan
suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan.
Sebaliknya disitulah kasih
sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan
lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang
lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti
tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka
bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh
perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh
perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya
apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri,
apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan
'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan
bapa akan kehilangan puteri.
Bila wanita derhaka dunia lelaki akan
huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi
binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah
diri sendiri dahulu kepada-Nya.
Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan
jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti
Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali..
No comments:
Post a Comment